Sunday 11 December 2011

Rupa Bentuk Tikar

          Rupa  bentuk  anyaman  tradisional  dua  dimensi  yang  masih kekal  penciptaan   dan  fungsinya  hingga  ke  hari  ini  ialah  tikar.  Walaupun  tidak  terdapat  banyak  variasi,  bentuk  dan  coraknya  tetap  indah  kerana  pelbagai  jenis  kelarai,  corak  dan  warna  digunakan.  Unsur-unsur  ini  menimbulkan  susunan  yang  unik  dan  menarik. Sebuah  tikar  dibahagikan  kepada  empat  ruang  iaitu  badan  tikar,  kepala  tikar,  bucu  tikar  dan  tepi  tikar.

Kelarai

       Kelarai  merupakan  corak  atau  motif  berbentuk  dam pada  anyaman.  Sebuah  anyaman  yang  lengkap  harus  dihiasi  dengan  kelarai.
    
       Kelarai  dapat  digubah  secara  tersusun  tunggal  atau  tersusun  dalam  ruang  tertentu.  Biasanya,  penganyam  akan  menggunakan  dua  jenis  warna  yang  kontra  untuk  mendapat  hasil   yang  menarik.  Pembentukan  kelarai  dilakukan  serentak  dengan  proses  menganyam.  Walaubagaimanapun,  pembentukan  kelarai  dirancang  terlebih  dahulu  dengan  menggunakan ' mata '  atau ' langkah ' yang  betul  dan  tepat  supaya motif  kelarai  yang  diingini  dapat  diwujudkan.

         Hampir  semua  jenis  kelarai  dicipta  berdasarkan  unsur-unsur  alam  seperti  unsur  tumbuhan,  bunga, dan  binatang.  Namun  begitu,  terdapat  kelarai  yang  berunsur  corak  geometri  dan  abstrak.  Ada  juga  kelarai  yang  dihubungkaitkan  dengan nama  tempat,  contohnya  kelarai  Sambas  dan  ada  yang  dikaitkan  dengan  nama  orang  yang  mahir  dalam  bidang  seni  anyaman,  contohnya  Kelarai  Mak  Mek  dan  Kelarai  Cik  Kedah.

        Kelarai  dapat  dibahagikan  kepada  beberapa  jenis  seperti  berikut :
  •  Kelarai  Punca  Flora
  • Kelarai  Punca  Fauna
  • Kelarai  Punca  Rupa  Geometri
  • Kelarai  Punca  Rupa  Abstrak
  • Kelarai  Punca  Nama  Tempat  dan  Nama  Pereka

Corak

      Dalam  seni  anyaman  tradisional,  corak  bermaksud  susunan  warna  pada  sesuatu  anyaman  biasa  atau  ghadas  tanpa  kelarai.  Corak  biasanya  dijalin  secara  berselang-seli  sehingga  meninggalkan  kesan  geometri  asli.  Kesan  kombinasi  warna-warna  penting  dalam  menentukan  corak. Lazimnya  dua  warna  yang  berkontra  digunakan  untuk  mendapat  hasil  yang  menarik.

       Beberapa  corak  yang  sering  digunakan  oleh  penganyam  tempatan  adalah  seperti  berikut:

  •  Corak  serong
  •  Corak  melintang
  •  Corak  berdiri  atau  corak  lurus
  •  Corak  beragi
  •  Corak  beras  patah
  •  Corak  mata  bilis
  •  Corak  tapak  catur
  •  Corak  selang-seli
  •  Corak  dam
  •  Corak  ketapang  gilir  kacang
  •  Corak  kisi-kisi
  •  Corak  Bugis
  •  Corak  Muar
  •  Corak  Malaysia
  •  Corak  Palembang
     

No comments:

Post a Comment