Perkataan batik berasal daripada bahasa Jawa ' ba ' dan ' tik ' yang bermaksud titisan lilin. Batik merupakan sejenis barangan kraf yang dihasilkan melalui proses menerap lilin dan mencelup kain. Batik terkenal di negeri-negeri di gugusan Kepulauan Melayu seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia.
Kain batik dan proses menghasilkannya dikatakan telah wujud sejak 2000 tahun dahulu di negeri Mesir dan Parsi. Batik juga telah digunakan sejak abad ke-7 di Jepun dan Negeri China. Di Semenanjung Tanah Melayu pula, kain batik dipercayai telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Parameswara di Melaka. Perusahaan batik secara tradisional banyak dijalankan di Kelantan dan Terengganu.
Pada masa dahulu, batik telah dijadikan sebagai pakaian harian, iaitu sebagai kain sarung, sapu tangan, selendang dan sebagainya. Kini, penggunaan kain batik telah berkembang mengikut trend semasa seperti dijadikan pengalas meja, kain cadar, langsir, sarung bantal, selimut, sarung kusyen, skraf, beg tangan, pengadang ruang, hiasan dinding dan sebagainya. Batik telah menjadi barangan komersial yang sangat popular, terutamanya di kalangan pelancong yang melawat negara ini.
No comments:
Post a Comment