Seni anyaman merupakan seni warisan kraf tangan Melayu tradisional yang dipercayai bermula dan berkembang tanpa pengaruh luar.
Masyarakat Melayu menganggap seni anyaman sebagai milik warisan. Seni ini masih dikagumi dan digemari hingga ke hari ini. Menganyam merupakan proses menjalin atau menjaring-jaringkan helaian daun, buluh, rotan, bertam, paku-pakis ribu-ribu, atau bahan-bahan lain dengan menggunakan cara dan peraturan tertentu melalui teknik menyelang-nyelikan helaian antara satu sama lain.
Pada zaman dahulu, kegiatan seni anyaman dilakukan oleh kaum wanita untuk mengisi masa lapang. Hasil kraf tangan ini dianggap tidak mempunyai sifat kewanitaan yang lengkap jika dia tidak mahir dalam seni anyaman. Pada masa kini, seni anyaman bukan sahaja popular di kalangan masyarakat Melayu dan masyarakat lain di Malaysia, bahkan juga terkenal di peringkat antarabangsa.
Kegiatan seni tradisional ini telah berkembang menjadi satu perusahaan seni kraf tangan yang penting di negara ini. Bentuk hasil yang bercorak tradisional ini telah diubah suai menjadi pelbagai bentuk barangan baru bersesuaian dengan cita rasa semasa.
No comments:
Post a Comment